Friday, February 26, 2010

Sejarah Sekolah


Bermula dengan nama Sekolah Larkin, ditubuhkan pada 16 September 1956. Menumpang bangunan SRK Ngee Heng. Guru Besar pertama, Allahyarham Tuan Haji Mohd Salleh bin Hassan dengan jumlah murid seramai 165 orang dan 4 orang guru.

Januari 1957, sekolah ini telah mendapat bangunannya sendiri di Jalan Larkin yang mempunyai 3 buah bangunan termasuk sebuah kantin dan pejabat sekolah. Upacara perasmian pembukaan rasmi sekolah telah dilakukan oleh Almarhumah Yang Teramat Mulia Ungku Tun Aminah, isteri kepada Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Johor pada 8 Ogos 1957. Bilangan murid sejak tahun tersebut semakin bertambah seramai 976 orang dengan gurunya meningkat kepada 25 orang. Ini telah memaksa pembukaan cawangan yang ditumpangkan di Sekolah Kebangsaan Air Molek.

Pada tahun 1968, bilangan murid terus meningkat kepada 1308 orang dan sebahagian murid ini ditumpangkan di bangunan bekas Pusat Latihan Harian di Jalan Yahya Al-Datar. Sekolah cawangan pertama ditutup.

Pada bulan Mei 1969, bangunan tambahan di Jalan Larkin siap dibina. Dengan itu juga sekolah ini dibahagi kepada dua pentadbiran dengan nama Sekolah Kebangsaan Larkin (SATU) dan Sekolah Kebangsaan Larkin (DUA).

Bagi menampung pertambahan murid yang sedang meningkat, sebuah bangunan dua tingkat yang mengandungi 10 buah bilik darjah siap dibina pada tahun 1972. Bagi kemudahan guru-guru dan murid-murid Islam, maka sebuah surau telah dibina pada tahun 1978 yang telah dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Jaafar bin Hamzah, Ahli Parlimen Johor pada 25 Mac 1978.

Pada tahun 1980, sebuah bangunan perpustakaan telah dibina dan telah digunakan sebagai Pusat Sumber untuk kemudahan murid dan guru.

Pada tahun 2003, sebuah bangunan 3 tingkat dengan rekabentuk baru telah siap dibina dan ini telah memisahkan dua buah sekolah (SK Larkin (SATU) dan SK Larkin (DUA)) secara menyeluruh kepada bangunan masing-masing kecuali kantin, padang dan surau.

13 November 2006 merupakan tarikh sejarah sekolah kerana telah menyambut ulang tahun ke 50 dengan meriahnya dan sambutan tersebut telah dirasmikan oleh En Jailani Rusni, mantan Pengarah Pelajaran Johor. Terdapat beberapa pengubahsuaian telah dilakukan sejak tahun 2006.

Kini, kedai buku dan surau (Musola Darul Soffa) sudah dipunyai sendiri oleh pihak sekolah dan tidak berkongsi dengan sekolah jiran, pembinaan sebuah astaka yang mengadap ke arah padang, pembinaan bilik-bilik GPK dan pembinaan bilik jQaf, bilik kaunseling, bilik pemulihan dan kelas Tahun 1 (yang berasingan bangunan). Dari segi prasarana pula, sebuah taman herba dibina dan pembinaan semula tempat letak kereta.

Bermula tahun 2007, nama bilik darjah ditukarkan daripada Matahari dan Mawar kepada Cerdik dan Cerdas.

Sehingga kini, seramai 14 orang guru besar telah mengepalai sekolah ini iaitu:

1. TN. HJ. MD. SALLEH B HASSAN ( 1956 - 1969 ) Allahyarham

2. EN. HU WEI TEH ( 1969 - 1973 )

3. EN. HO PENG SENG ( 1973 - 1975 ) Mendiang

4. EN. OTHMAN B ALI (PIS) ( 1975 - 1983 ) Allahyarham

5. EN. SIVALINGAM ( 1983 - 1990 )

6. EN. OTHMAN B AHMAD ( 1990 - 1994 )

7. EN. ZAINAL ABIDIN B SULAIMAN ( 1994 - 1994 )

8. PN. WAN SOM BT WAN HUSSIN ( 1994 - 1996 )

9. EN. HAMZAH B UZIR ( 1996 - 1997 )

10. PN. VIMALA A/P MUTHIAH NEELAMEGAM ( 1997 - 2003 )

11. EN. KATIGO B SUKIMAN ( 2003 - 2003 )

12. TN. HJ. SYED SALLEH B SYED HASSAN ( 2003 - 2005 )

13. PN. HJH. ROSNAH BT MD. YUSOFF ( 2005 - 2006 )

14. PN. HJH. KAMARIAH BT ABD. KADIR ( 2006 - 2008 )

15. PN HJH JAMALIAH BT ABD AZIZ ( 2008 - SEKARANG )